3 Direman 7 Hari Berkaitan Rasuah Judi Online

Suspek siasatan rasuah berkaitan judi dalam talian dibenarkan ditahan reman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tawau – Foto Rahemang Taiming.

TAWAU: Tiga individu termasuk ketua sindiket ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu rasuah berkaitan perjudian haram dalam talian.

Perintah reman terhadap lelaki berumur 42 bersama dua wanita masing-masing berusia 23 dan 57 tahun dikeluarkan oleh Majistret Dzul Elmy Yunus bermula 21 hingga 27 Jun di Mahkamah Majistret Tawau pagi ini.

Ketiga-tiga suspek tiba mahkamah jam 9.26 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM dan tangan bergari sebelum dibawa masuk ke bilik bicara mahkamah.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Semalam, media melaporkan suspek ditaham dalam satu serbuan jam 11 pagi di sebuah premis di pusat bandar di sini kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram.

Turut dirampas wang tunai berjumlah kira-kira RM40,000 selain menyita akaun berjumlah lebih RM300,000, membabitkan empat akaun bank milik suspek dipercayai hasil perjudian.

Difahamkan, suspek lelaki tempatan terbabit turut disyaki membayar wang rasuah kepada beberapa anggota agensi penguat kuasa di sekitar daerah ini bagi melindungi kegiatan perjudian tanpa lesen yang dijalankannya sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy, dalam kenyataannya berkata beberapa siri tangkapan susulan akan dijalankan dalam masa terdekat. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *