Mayat Kanak-Kanak Lemas Mandi Sungai Ditemui

Mayat kanak-kanak ditemui pasukan bomba di bawah jambatan di Sungai Inanam, Kota Kinabalu.- Gambar Ihsan Bomba

KOTA KINABALU: Mayat kanak-kanak lelaki yang hilang ketika mandi sungai bersama lima rakannya, semalam, ditemukan di bawah jambatan Sungai Inanam berhampiran stesen minyak di Jalan Tuaran Lama, pagi tadi.

Mayat Almunel Unim, 11, ditemukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas yang menjalankan operasi menyelamat kira-kira jam 6.25 pagi.

Difahamkan, kanak-kanak warga asing itu dikatakan mandi bersama lima rakannya di bawah jambatan berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Bagaimanapun, sebaik mangsa didakwa lemas dan gagal diselamatkan, rakan-rakannya kemudian pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarga mangsa.

Ketua BBP Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima maklumat jam 9.06 malam tadi, selepas ibu kanak-kanak terbabit datang ke balai untuk meminta pertolongan mencari anaknya.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat membabitkan seramai 12 anggota dan seorang pegawai serta dibantu lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Kinabalu.

“Mangsa gagal ditemui dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 11.45 malam tadi sebelum disambung semula pada jam 6 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agustavia berkata, sebaik operasi disambung semula, mangsa berjaya ditemui pada jam 6.25 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *