Majlis Pengebumian & Tahlil Cetus Kluster Baharu Di Tawau

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Sebuah majlis pengebumian dan tahlil telah mencetuskan kluster terbaharu di Sabah, menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Menurutnya, kluster yang diberi nama Kluster Kopi Blues itu melibatkan komuniti di Mukim Sri Tanjung, Tawau dan kini telah mencatatkan sebanyak 12 kes.

“Kes indeks merupakan seorang suri rumah, 46 tahun, dari Kampung Lorong Saddani, Batu 2 yang disahkan positif melalui saringan bergejala pada 9 Jun bersama anaknya.

“Daripada 20 sampel yang telah diambil menerusi saringan kontak rapat dan kontak sosial, 10 sampel dikesan positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dua sampel didapati negatif manakala enam masih menunggu keputusan.

Jelas Masidi, siasatan awal mendapati kesemua kontak telah menghadiri perjumpaan di rumah keluarga mereka yang terletak di Kopi Blues Batu 2 sempena majlis pengebumian dan tahlil pada 29 Mei lalu.

“Akiviti pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan sedang giat dijalankan,” katanya yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini.

Sabah hari ini telah mencatatkan pertambahan sebanyak 309 kes positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif ialah sebanyak 65,330 kes.

Sementara itu, enam kes kematian telah direkodkan hari ini, dua dari Tawau manakala Semporna, Sandakan, Kuala Penyu dan Beaufort masing-masing merekodkan satu kes. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *