8 Lagi Rumah Abu Sayyaf Dimusnahkan

Rumah persembunyian kumpulan militan Abu Sayyaf berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, dimusnahkan.- Foto PDRM

BEAUFORT: Sebanyak lapan lagi rumah berhampiran Taman Sri Arjuna, di sini, yang digunakan sebagai tempat persembunyian kumpulan Abu Sayyaf dimusnahkan, hari ini.

Operasi khas pemusnahan itu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dengan kerjasama Majlis Daerah Beaufort dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, operasi memusnahkan kawasan persembunyian berkenaan bagi menghapuskan sarang penempatan kumpulan militan itu sepenuhnya.

Katanya, ini adalah operasi kedua memusnahkan rumah yang dijadikan tempat persembunyian kumpulan Abu Sayyaf sebelum ini.

“Rumah yang dimusnahkan ini dipercayai menjadi tempat persembunyian yang menempatkan 38 orang.

“Rumah ini dibina mengikut kepada teknik perang gerilla yang sukar dikesan walaupun menerusi pemantauan udara,”katanya.

Sehubungan itu, Yusoff Zaki berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung ahli militan Aabu Sayyaf diminta tampil membantu demi menjaga keselamatan negara.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort Abdul Imam Basirun berkata, pihaknya akan terus menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk membantu menghapuskan kawasan persembunyian kumpulan militan berkenaan.

“Ini adalah tindakan drastik dan amat baik untuk menangani kemasukan mereka, InsyaAllah kita akan teruskan tindakan ni untuk menghapuskan saki baki persembunyian kumpulan Abu Sayyaf,” katanya.

Foto PDRM

Secara keseluruhan setakat ini, 14 buah rumah sudah dimusnahkan dan operasi fasa ketiga dijangka akan diteruskan dalam masa terdekat. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *