Hapus Gelaran Sabah Pusat Transit Dadah

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

KOTA BELUD: Polis Sabah serius menangani pengedaran dadah dan sekali gus menghapuskan gelaran negeri ini sebagai pusat transit pengedaran bahan terlarang itu ke negara jiran.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, ia susulan pendedahan pihak berkuasa Indonesia yang berjaya mematahkan 13 kes sindiket pengedaran dadah di negara itu.

Katanya, siasatan yang dijalankan pihak berkuasa negara jiran mendedahkan semua dadah berkenaan adalah dibawa masuk dari Sabah.

“Setakat ini, sebanyak 13 kes berjaya dipatahkan pihak berkuasa negara jiran dan mereka mendapati semua dadah itu diseludup masuk dari Sabah.

“Kejayaan terbesar pihak berkuasa Indonesia adalah berjaya merampas lebih 200 kilogram dadah yang dibawa masuk ke Sabah sebelum dieksport semula ke negara jiran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Belud di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, hari ini.

Pada majlis berkenaan, serah terima tugas dijalankan antara pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud, Asisten Superintendan Mohd Airul Sukri kepada Superintendan Sahimi Husin.

Hazani berkata, pihaknya akan menjalankan operasi pembanterasan secara serius dalam usaha menghapuskan gelaran Sabah sebagai pusat transit dadah.

Katanya, masyarakat dinasihatkan supaya tidak bekerjasama dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan selain membantu menyalurkan maklumat untuk tindakan pembanterasan berterusan.

“Amaran keras kepada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dalam aktiviti dadah. Mereka akan dikenakan tindakan dan hukuman berat yang setimpal dengan jenayah berkenaan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *