6 Lagi lokasi Di Sabah Kena PKPD Mulai Khamis Ini

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di enam lagi lokasi di Sabah bermula 10 Jun hingga 23 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan terbabit adalah Kampung Kebayau, Kota Belud; Kampung Batu Layar, Pulau Banggi, Kudat; Taman Wawasan, Beaufort; Kampung Likas, Kota Kinabalu; Kampung Sungai Obar Batu 7 dan Fasa 9B Taman Indah Jaya di Sentosa, Sandakan.

Menurutnya, sebanyak 11 kes positif direkodkan dengan kadar positiviti 68.75 peratus di Kampung Kebayau, manakala tujuh kes positif dengan kadar positiviiti 63.64 peratus di Kampung Batu Layar.

“Di Taman Wawasan pula merekodkan 23 kes positif, Kampung Likas (22 kes) Kampung Sungai Obar (10 kes) dan Fasa 9B Taman Indah Jaya (18 kes).

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD itu adalah sama seperti yang diumumkan, sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Ladang FGV Kalabakan Selatan, Sabah dilanjutkan sehingga 22 Jun ini selain Felda Redong 1, Segamat, Johor turut dilanjutkan sehingga 23 Jun ini.

Katanya, pelanjutan PKPD itu berikutan KKM mendapati masih berlaku penularan wabak dalam kalangan penduduk serta kes baharu dilaporkan.

Selain itu, katanya, PKPD di Rumah Panjang Isa anak Blone, Rumah Panjang Ben anak Kuleng dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gelam di Tanjung Manis, Sarawak; Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik dan Taman Desa Ranggu di Tawau, Sabah serta Kepulauan Tumpat, Kelantan ditamatkan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost