5 Kluster Baharu Di Sabah Hari Ini, Dua Dikesan Di Pelantar

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Dua dari lima kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini dikesan di pelantar dan tiga kluster lagi dikesan di kapal dan komuniti.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dua kluster baharu di pelantar adalah kluster Segara dan kluster Coral di Kota Kinabalu. Kluster Segara membabitkan pekerja Pelantar Kinabalu Non Associated Gas (KNNAG).

Kes indeks bagi kluster ini membabitkan juruteknik di pelantar yang disahkan positif RTK-Ag semasa saringan di Hospital KPJ pada 2 Jun. Daripada 141 sampel diambil, 10 kes lagi disahkan positif.

Manakala, kluster Coral pula dikesan daripada tukang masak yang disahkan positif semasa saringan sing-off pada 2 Jun dan daripada 283 sampel diambil, lagi lagi kes positif dan 274 sampel didapati negatif.

Katanya, satu kluster lagi adalah kluster Ocean Blue, Kota Kinabalu yang membabitkan kru kapal di Kota Kinabalu yang disaring selepas tiba dari Perak. Kes indeks adalah kru kapal yang dikesan positif semasa tiba di pangkalan dan 98 lagi kru lain juga disahkan positif.

Dua kluster komuniti yang dilaporkan hari ini adalah kluster Tanjung Aru Baru yang kini merekodkan 30 kes positif dan kluster Kg Bundu, Kota Belud yang melaporkan 39 kes positif.

Hari ini Sabah merekodkan sebanyak 350 kes positif baharu, dengan lima kluster baharu dan satu kes kematian. Kes kematian hari ini dilaporkan di Tawau.

Masidi berkata, sehingga hari ini 17 daerah di Sabah berada dalam zon merah, dua dalam zon jingga, enam zon kuning dan dua lagi zon hijau iaitu daerah yang tidak mencatatkan kes aktif.

Beliau berkata, daripada 350 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 161 kes. Daerah lain yang turut mencatatkan kes yang tinggi adalah Lahad Datu (25), Penampang (22), Tawau (20) dan Putatan (19).

Katanya, daripada 350 kes positif itu, sebanyak 135 kes dari saringan kontak rapat, 166 kes dari saringan kluster, saringan bergejala 37 kes dan 12 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 315 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 61,586 kes.

Seramai 1,776 pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 524 orang di hospital dan 1,252 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 97 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 34 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *