Warga Asing Diperjara 6 Tahun 4 Sebatan Rogol Remaja Bawah Umur

Edieka Mulyadi dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau.

TAWAU: Lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merogol remaja bawah umur berusia 14 tahun pada 26 Mei lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Edieka Mulyadi, 20, yang mengaku salah melakukan perbuatan itu.

Edieka yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu, didakwa merogol gadis berkenaan di dalam sebuah bilik rumah kayu tidak bernombor di kebun kelapa sawit, Sin Onn, dekat sini, jam 8.30 malam, pada 26 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Kershanathan Pathmanathan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana perbuatan tertuduh membabitkan mangsa di bawah umur.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan menjaga ibu bapa yang sudah tua.

Selain pertuduhan merogol tertuduh juga mengaku bersalah memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara lima bulan dan tiga kali sebatan atas kesalahan itu.

Kedua-dua hukuman berkuatkuasa dari tarikh sabitan dan berjalan secara berasingan.

Berdasarkan fakta kes, laporan polis dibuat ibu mangsa kira-kira 12.16 tengah malam pada 28 Mei lalu, apabila dimaklumkan doktor yang memeriksa remaja itu mendapati terdapat koyakan pada bahagian kemaluan (selaput dara).

Mangsa didakwa mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya (tertuduh) di kebun kelapa sawit.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, berjaya menahan suspek kira-kira 12.20 tengah malam, hari yang sama. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost