Parlimen Perlu Bersidang Secara Bersemuka – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menggesa agar persidangan Parlimen dapat diadakan secara bersemuka dan bukannya secara hybrid bagi membincangkan isu-isu berkaitan Covid-19.

Beliau berkata, sudah tiba masanya badan legislatif itu diadakan secara bersemuka kerana situasi Covid-19 di negara ini semakin teruk biarpun darurat sudah dilaksanakan.

“Persidangan Parlimen ditangguh sejak Januari lalu susulan proklamasi darurat bagi menangani pandemik Covid-19. Bagaimanapun kes jangkitan Covid-19 terus menunjukkan peningkatan yang ketara ditambah pula dengan peratusan vaksinasi di Sabah yang rendah.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini menjadi lebih teruk dan sekarang adalah masa yang tepat untuk parlimen bersidang. Ini adalah asas dan perlembagaan untuk parlimen bersidang.

“Menjalankan sesi parlimen secara hybrid adalah satu usaha yang tidak bersungguh-sungguh. Keadaan pandemik semakin serius maka, persidangan secara bersemuka perlu bagi menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shafie berkata, negara lain seperti Singapura, Britain dan Australia dan negara demokrasi berparlimen yang lain masih bersidang bagi menangani pandemik Covid-19 dan merancang pemulihan ekonomi di negara mereka.

Jika dilihat acara besar seperti Sukan Olimpik diteruskan mengikut SOP, Solat Jumaat juga masih dibenarkan mengikut SOP yang ketat. Malah, pusat membeli belah bagi perkhidmatan perlu dan pasaraya juga dibenarkan beroperasi dengan SOP yang ketat.

“Mengadakan sesi Parlimen amat penting dan sekiranya kerajaan boleh membenarkan kilang barangan perlu beroperasi kenapa Parlimen yang begitu penting tidak dibuka.

“Parlimen seharusnya dibenarkan bersidang dengan menghadkan kehadiran kepada 220 ahli parlimen sahaja. Tidak perlu kehadiran pegawai ahli parlimen untuk hadir. Saya percaya semua ahli parlimen juga telah selesai divaksin,” katanya.

Menurutya, semasa proklamasi darurat diisytiharkan pada 12 Januari, kes harian Covid-19 hanya 3,309 kes dengan kumulatif sebanyak 141,533 dan bilangan keseluruhan kematian 559 kes.

Namun pada 3 Jun semasa darurat masih dilaksanakan, bilangan kes harian meningkat kepada 8,209 kes dengan kumulatif 595,374. Kes kematian harian adalah 103 kes dengan kumulatif kes kematian sebanyak 3,096.

Keadaan ini jelas menunjukkan kerajaan gagal menangani krisis Covid-19 dan masih bergelut untuk menanganinya dan itu menyebabkan rakyat marah dan kecewa.

Ekonomi di negara ini juga mencapai tahap dimana peniaga terpaksa menutup operasi perniagaan dan rakyat yang menderita mengharapkan bantuan kerajaan selepas kehilangan pekerjaan.

Malah, ahli ekonomi, penganalisis dan pihak industri sudah menyuarakan dan memberi rekomendasi apa yang perlu dilakukan untuk mengelakkan ekonomi terus merundum.

Persoalannya, adalah kerajaan  mengambil serius cadangan yang dikemukakan. Atas sebab itu, parlimen perlu bersidang bagi membolehkan isu-isu ini dibincangkan secara teliti. Langkah perlu diambil bagi menangani pandemik dan krisis ekonomi yang berlaku. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost