STAR Sabah Gantung Jawatan Philip Among

Philip Among (kiri) dan Datuk Guandee Kohoi

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah bertindak menggantung jawatan ahlinya Philip Among sebagai Penyelaras Parlimen STAR Putatan berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung STAR Senator Datuk Guandee Kohoi berkata, tindakan seterusnya, sama ada menggantung keahlian atau memecat Philip dari STAR Sabah akan diambil selepas Lembaga Disiplin parti bersidang. 

“Tindakan ini menunjukkan kepimpinan parti sentiasa terbuka untuk mendengar keluhan dan aduan daripada semua pihak, terutama daripada ahli-ahli STAR Sabah.

“STAR Sabah mengambil serius isu tular yang mengaitkan nama parti dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, STAR Sabah adalah parti yang berperlembagaan dan setiap perkara hendaklah diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang yang ada dalam parti. 

Dalam pada itu, beliau turut meminta ahli dan penyokong STAR supaya bertenang dan bersabar menghadapi isu berkenaan serta tidak membuat sebarang tindakan yang akan mengeruhkan keadaan. 

“Marilah kita bersama membangun dan memantapkan STAR Sabah. Letakkanlah kepercayaan kepada kepimpinan parti untuk memimpin dan menjaga Parti STAR Sabah,” katanya.

Menurutnya, setakat ini dua laporan polis dibuat terhadap Philip Among yang semakin tular di media sosial. 

Katanya, laporan polis pertama membabitkan peserta unduk ngadau yang mendakwa diperlakukan tidak senonoh oleh Philip manakala satu lagi laporan dibuat oleh pengawal keselamatan yang mendakwa dikasari Philip semasa di Dewan KDCA Penampang. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost