Indonesia Henti Usaha Selamatkan KRI Nanggala 402

Gambar fail pada 30 April 2021 menunjukkan pegawai tentera laut Indonesia menabur jambangan bunga ke laut ketika majlis memperingati kru KRI Nanggala 402. – Foto AFP

JAKARTA: Indonesia menghentikan usahanya untuk menyelamatkan kapal selam tentera yang tenggelam di perairan Bali dan mengorbankan semua 53 anak kapal, kata tentera laut hari ini.

KRI Nanggala 402 hilang pada April lalu ketika dijadualkan untuk mengambil bahagian dalam sesi latihan torpedo secara langsung.

Sebuah kenderaan selam penyelamat kemudian menemukan kapal selam buatan Jerman itu terdampar di dasar laut di kedalaman lebih 800 meter, pecah kepada beberapa bahagian dan mengesahkan tiada harapan untuk menemukan anak kapal yang terselamat.

Kapal penyelamat China dihantar untuk membantu usaha mengangkat kapal selam itu.

Bagaimanapun, tentera Indonesia hari ini berkata, mereka akan menamatkan operasi itu selepas satu pertemuan dengan tentera laut China.

Dalam satu kenyataan ringkas, tentera laut Indonesia berkata, usaha menyelamat itu ‘bukan tugas yang mudah’ dan ‘sangat berisiko’ tanpa memperincikannya.

Katanya, usaha itu sudah dilakukan selama sebulan bagi menyelamatkan ‘peralatan penting’ dari kapal yang pecah itu, namun keputusan untuk menghentikan operasi bermakna tiada peluang untuk menemukan mayat mangsa.

“Keluarga kami berharap mereka dapat membawanya naik,” kata bapa kepada seorang anak kapal, Sudarmaji kepada AFP hari ini sebelum pengumuman itu.

“Tidak kisah jika ia mengambil sedikit masa atau kita perlu meminta lebih banyak bantuan dari negara lain,” katanya.

Sebelum itu, tentera memaklumkan, magnet berkuasa tinggi dan belon udara adalah antara pilihan untuk membawa naik kapal selam itu.

Tidak pasti bila atau jika laporan mengenai punca kemalangan itu akan didedahkan kepada umum. – AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *