13 Kompaun Dikeluarkan Dalam Tempoh Dua Hari Pelaksanaan PKP – IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengeluarkan 13 kompaun membabitkan tiga di Sekatan Jalan Raya (SJR) dan 10 lagi kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditempat awam.

Manakala 30 kenderaan lagi turut diarahkan berpatah balik berikutan melangkaui jarak perjalanan yang terlalu jauh dari kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, antara alasan yang diberikan pemandu adalah untuk mendapatkan barangan keperluan.

Bagaimanapun katanya, jarak yang dituju terlalu jauh sedangkan kawasan kediaman mereka turut mempunyai premis untuk mendapatkan bekalan diperlukan.

“Selain itu, kompaun yang dikeluarkan di SJR adalah membabitkan kesalahan melebihi kapasiti kenderaan yang dibenarkan.

“Manakala, 10 lagi kompaun pula dikeluarkan ditempat awam membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka, tidak mendaftarkan diri pada Mysejahtera dan tidak mengamalkan jarak sosial ditetapkan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pengeluaran kompaun itu menjadikan jumlah keseluruhan yang dikeluarkan bagi tiga peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini adalah sebanyak 1,666 kompaun.

Sementara itu, Mohd Zaidi menegaskan, IPD Kota Kinabalu mempunyai seramai 30 pasukan pemantau sepanjang penguatkuasaan PKP 3.0 kali ini.

Katanya, jumlah itu membabitkan seramai 200 pegawai dan anggota yang ditugaskan di lima SJR yang dibuka di daerah ini untuk tempoh 24 jam sehingga 14 Jun depan.

“Dalam masa sama, kita turut mempunyai tiga pasukan khas ‘mobile snapcheck’ membabitkan empat pegawai dan 20 anggota bagi menjalankan pemeriksaan secara mengejut di tempat awam,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihatkan masyarakat supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar SOP dalam usaha melandaikan penularan Covid-19. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *