Empat Lagi Lokaliti Di Sabah Dikenakan PKPD Mulai Esok

KOTA KINABALU: Empat lokaliti di negeri ini termasuk tiga di Kota Belud diarahkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 3 hingga 16 Jun 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes yang ketara di tiga lokaliti di Kota Belud iaitu Taman Nikmat, Kampung Pirasan dan Kampung Dundau.

Katanya, sebanyak lapan kes positif direkodkan masing-masing di  di Taman Nikmat dan Kampung Dundau manakala tujuh kes di Kampung Pirasan.

Menurutnya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP), kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan PKPD di ketiga-tiga lokaliti selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan.

“Sebanyak lapan kes direkodkan hasil daripada 10 ujian saringan yang dijalankan membabitkan Kampung Simpangan Tuaran.

“KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes yang ketara di lokaliti berkenaan dan kerajaan negeri turut bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Simpangan Tuaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD di lokaliti berkenaan memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes bagi tujuan pengasingan serta melaksanakan saringan bagi kontak rapat.

Sementara itu katanya, PKPD di Lorong 2, Kampung Kongsi 8 Tawau ditamatkan pada 2 Jun lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 12 Jun 2021.

Menurutnya, berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif menerima rawatan. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *