China Patuh Undang-Undang Antarabangsa, Tak Ceroboh Ruang Udara Malaysia

KUALA LUMPUR: Kedutaan China di Kuala Lumpur memaklumkan 16 pesawat Tentera Udara milik China iaitu People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu semalam hanyalah sebagai melakukan rutin latihan penerbangan.

Menurut jurucakap kedutaan itu, rutin latihan itu ‘mematuhi sepenuhnya’ undang-undang antarabangsa tanpa menceroboh ruang udara mana-mana negara.

“China dan Malaysia adalah negara jiran yang baik dan China bersedia meneruskan hubungan dua hala dengan Malaysia bagi bersama-sama mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 yang terbang pada ketinggian 23,000 dan 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots

Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.

China ketika ini semakin agresif meluaskan ‘jajahannya’ di wilayah perairan yang dituntut di Laut China Selatan.

Malahan, pasukan pengawal pantai China sering memberi amaran kepada mana-mana bot atau kapal yang melalui kawasan tersebut. – Utusan

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost