Guru Maut Ketika Mendaki

Mayat guru diusung ke kenderaan polis selepas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KINABATANGAN: Seorang guru maut ketika menjalani aktiviti mendaki di Taman Rekreasi Bukit Air Terjun Tawai Kampung Entilibon Tongod pada Sabtu lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, mangsa Jahir Korotok, 29, didapati tidak sedarkan diri ketika mendaki bukit itu.

Beliau berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 8 pagi, terdapat kumpulan seramai 10 orang melakukan aktiviti mendaki bukit di taman rekreasi berkenaan.

“Sekitar jam 12 tengah hari, salah seorang daripada anggota kumpulan pendaki itu dilaporkan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, pasukan operasi menyelamat dan mencari (SAR) melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertananan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menemui kumpulan pendaki itu di lokasi 4.8 kilometer dari lokasi bermula pendakian.

Katanya, pihak JBPM Kinabatangan menerima panggilan pada jam 2 pagi tadi dan bergegas ke lokasi kejadian lebih kurang 150 kilometer dari Balai Bomba Kinabatangan.

Azlan berkata, mangsa yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Linayukan disahkan meninggal dunia.

“Pasukan penyelamat dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah dan pemandu pelancong berjaya membawa turun mayat mangsa kira-kira jam 5.57 pagi dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintenden Dzulbaharin Ismail berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar oleh pihak polis ke hospital untuk dibedah siasat.

Dzulbaharin berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut berikutan tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *