PKP 3.0 Akan Diperketatkan – PM

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperketatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan penambahan sekatan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Keputusan itu dicapai sebulat suara menerusi perbincangan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sidang khas itu membincangkan secara mendalam situasi semasa penularan jangkitan Covid-19.

Menurutnya, mesyuarat meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung status terkini kes Covid-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan itu.

“Selain itu, sidang khas ini juga membincangkan status pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei lalu.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP 3.0 sudah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

“Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang,” katanya.

Menurutnya, mengambil kira perbincangan dan penelitian dalam sidang khas hari ini, mesyuarat sebulat suara bersetuju mengetatkan pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan penambahan sekatan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

“Sidang khas ini turut membabitkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan Covid-19.

“Perincian mengenai sekatan tambahan ini akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob pada 22 Mei ini (esok),” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *