UMNO Sabah & GRS Masih ‘Steady’ – Bung

Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU:  UMNO Sabah tetap dengan pendirian untuk terus bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kenyataan berkenaan sekali gus menyangkal spekulasi yang mengaitkan berlakunya pertukaran kerajaan negeri Sabah sebagaimana khabar angin yang tersebar luas kebelakangan ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya sentiasa tenang biarpun menerima penyebaran khabar angin yang dianggap tidak berasas itu.

Timbalan Ketua Menteri ini berkata, UMNO dan GRS masih ‘steady’ sebagai kerajaan yang mentadbir negeri Sabah dan ketika ini tiada apa-apa yang berlaku seperti spekulasi yang dilaporkan.

“Selaku Ketua UMNO Sabah, saya tenang sahaja dan saya tidak pernah cakap UMNO akan menarik sokongan dari GRS.

“UMNO Sabah juga masih kekal dengan pendirian untuk terus bekerjasama dengan GRS dalam menghadapi PRU yang akan datang,” katanya di sini semalam.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili mengenai keterbukaan pihaknya untuk bekerjsama dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN), Bung menjelaskan perkara itu tidak salah.

Katanya, PBS hanya menyatakan boleh bekerjasama dengan WARISAN dan bukannya akan bekerjasama. Justeru, PBS boleh bekerjasama dengan siapa sahaja demi pembangunan negeri Sabah.

“Bukannya mereka akan bekerjasama untuk PRU. Namun, dalam politik sentiasa ada sahaja pusingannya.

“Bagi UMNO, kita akan tetap bekerjasama dengan GRS di Sabah untuk berdepan PRU akan datang,” jelasnya.

Spekulasi pertukaran kerajaan negeri mula timbul berikutan wujudnya ketegangan di antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR). 

Baru-baru ini, Ketua Penerangan GRS yang juga Setiausaha Agung PBS Datuk Joniston Bangkuai turut menafikan dakwaan Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal akan kembali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri sebagaimana yang tular di media sosial.

Pihaknya menegaskan perkara itu hanya satu dakwaan liar dan tidak benar. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *