Tindakan Pantas Tumpaskan Abu Sayyaf Dipuji

Rumah di kawasan penempatan setinggan di paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, menjadi tempat tinggal lima anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang ditembak mati polis dalam operasi khas, Isnin lalu. – Foto BERNAMA

BEAUFORT: Tindakan pantas pasukan keselamatan menumpaskan kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang bersembunyi di kawasan penempatan setinggan paya bakau Taman Sri Arjuna di sini, pada 17 Mei lalu menerima pujian dan amat melegakan penduduk di daerah ini.

Penduduk Mohd Hairol Jais, 33, berkata, dia tidak menyangka belakang kawasan perumahan itu menjadi tempat persembunyian pengganas yang dikehendaki.

Katanya, pada hari kejadian dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan terdengar bunyi letupan tetapi menganggapnya hanya bunyi mercun.

“Sekarang Hari Raya jadi saya ingat bunyi mercun saja, tetapi selepas itu saya nampak ramai polis datang dan tular berita pasal kes tembakan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Hairol bagaimanapun berkata, dia menunggu berita pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai kejadian berkenaan dan merasa lega apabila individu yang dikehendaki pihak berkuasa itu berjaya ditumpaskan.

Seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Kamaliah berusia 40-an tidak menyangka kawasan itu menjadi tempat persembunyian individu yang berbahaya malah dikehendaki oleh negara jiran dan turut memuji tindakan pantas anggota keselamatan.

“Saya hanya tahu berita itu melalui media massa semalam dan timbul juga rasa takut serta risau akan keadaan keselamatan di sini, tetapi tindakan pantas pasukan keselamatan menghapuskan kumpulan pengganas itu memang amat melegakan kami,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kawasan berkenaan terlindung dari penglihatan orang ramai kerana perlu melalui kawasan perumahan sebelum masuk ke laluan berbukit tanah merah setinggi kira-kira 150 meter.

Dari atas laluan berbukit itu, untuk masuk ke kawasan setinggan itu terdapat lagi laluan denai di tepi bukit sejauh kira-kira 200 meter dari jalan raya sebelum sampai ke lokasi kejadian dan di situ terdapat beberapa rumah kayu usang dibina berhampiran antara satu sama lain yang dikelilingi hutan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, polis akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Beaufort untuk merobohkan kawasan penempatan setinggan berkenaan.

“Ia bagi memastikan kawasan itu tidak lagi menjadi pusat penempatan haram oleh pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee berkata, tindakan polis itu menyebabkan kumpulan pengganas Abu Sayyaf kehilangan tempat persembunyian di Sabah dan menghalang tindakan menceroboh oleh kumpulan itu.

“Ini mengejutkan bahawa pengganas bersembunyi di Beaufort kerana pekan itu yang terletak di barat daya Sabah, jauh dari ESSZone (Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah) di pantai timur Sabah yang dilindungi oleh ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah).

“Bagaimanapun seperti diakui polis ada saki-baki kumpulan itu, maka penduduk tempatan terutama di atau dekat kawasan setinggan mesti memainkan peranan lebih aktif dalam mengesan kehadiran pengganas dan penyokongnya agar pasukan keselamatan dapat menghapuskan pengganas ini segera,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah dilantik berkata, sehubungan itu, beliau meminta kerajaan supaya mengukuhkan pasukan keselamatan ESSCom terutama memperkasakan aset keselamatan bagi melindungi Sabah daripada kegiatan keganasan, militan dan jenayah rentas sempadan.

Pada Isnin lalu, jam 11.27 pagi, pasukan keselamatan berjaya menembak mati lima anggota kumpulan Abu Sayyaf termasuk seorang sub leader yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina dikenali sebagai Mabar Binda semuanya berusia antara 20-an dan 40-an.

Di kawasan yang sama juga pada 8 Mei lalu, pasukan keselamatan berjaya menahan lapan anggota kumpulan Abu Sayyaf termasuk dua yang dinamakan dalam senarai orang dikehendaki kerajaan Filipina, dalam operasi jam 3 pagi yang mana polis turut menahan 29 lagi individu warga Filipina. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *