Penempatan Setinggan Dipantau, Elak Jadi Tempat Persembunyian Pengganas

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperhebatkan pemantauan terhadap penempatan setinggan bagi memastikan tiada lagi kawasan dijadikan tempat persembunyian kumpulan pengganas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, beliau sudah mengarahkan semua ketua polis daerah di negeri ini supaya terus menjalankan pemantauan ketat di kawasan masing-masing.

Hazani Ghazali

Katanya, masyarakat juga terutamanya Ketua Kampung serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) turut digesa supaya bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan dengan menyalurkan sebarang maklumat.

“Ketua kampung dan JPKK lebih mengenali setiap individu di kampung mereka. Sekiranya mereka ada mengesyaki sesuatu atau perkara luar biasa di kawasan mereka laporkan segera kepada pihak berkuasa.

“Begitu juga dengan syarikat kontraktor atau pengurusan kilang-kilang supaya lebih berhati-hati dengan individu yang diambil bekerja bagi memastikan tiada kaitan dengan kegiatan pengganas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, masyarakat tidak perlu takut untuk menyalurkan sebarang maklumat kerana pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, Sabah mempunyai ordinan khas untuk ketua kampung mengambil tindakan seperti melaporkan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Hazani berkata, PDRM akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk merobohkan serta-merta kawasan penempatan setinggan membabitkan pengganas.

Katanya, polis akan merangka operasi besar-besaran selepas ini untuk memburu dan memusnahkan kawasan yang dijadikan tempat persembunyian kumpulan pengganas ini.

Sebelum ini, seramai lapan individu termasuk dua dalam senarai orang dikehendaki membabitkan kumpulan militan Abu Sayyaf ditahan dalam serbuan di kawasan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, 10 Mei lalu.

Susulan daripada itu, siasatan terus giat dijalankan polis sebelum lima lagi ahli kumpulan pengganas terbabit berjaya ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan di lokasi sama, Isnin lalu. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *