13 Keluarga Dipindahkan Akibat Banjir Di Beaufort & Tenom

Anggota keselamatan bantu pemindahan mangsa banjir di beberapa lokasi sekitar daerah Beaufort malam tadi.

BEAUFORT: Sebanyak 13 keluarga membabitkan 55 mangsa banjir terpaksa ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), ekoran banjir yang melanda daerah Beaufort dan Tenom, hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, seramai 29 daripada mangsa banjir dipindahkan ke Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir.

Manakala katanya, 26 lagi mangsa membabitkan lima keluarga dari daerah Tenom pula ditempatkan di Rumah Kebudayaan Kalang Kanar.

“Setakat ini satu PPS sudah dibuka di daerah Beaufort dan sebuah lagi PPS dibuka untuk pemindahan mangsa banjir di Tenom.

“Banjir kali ini membabitkan sebanyak 46 kampung sekitar Beaufort antaranya Kampung Gadong, Lawa, Jabang, Batu 65, Tuhu, Lupak dan Kebajang Ulu,” katanya.

Menurutnya, bagi daerah Tenom pula, sebanyak 11 kampung terjejas akibat banjir antaranya Kampung Bunut, Binsilon, Mandalom Lama, Tumantalik dan Enubai.

Selain itu katanya, beberapa jalan raya utama juga dilaporkan tidak dapat dilalui manakala beberapa lagi hanya boleh dilalui kenderaan berat.

“Bagaimanapun, air banjir di beberapa jalan raya sudah mulai surut termasuklah di Jalan Binsilon, Makakumpai, Mandalom Lama, Pantongan Saga dan Batu-Batu,” katanya.

Sehubungan itu, APM menasihati penduduk setempat khususnya tinggal di kawasan rendah atau berhampiran sungai supaya sentiasa berhati-hati dan bersedia sekiranya perlu dipindahkan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *