Guru, Anak Imam Cetus Kluster Baharu Di Tawau & Kunak

KOTA KINABALU: Seorang guru dan anak imam mencetuskan dua kluster Covid-19 berkaitan jangkitan komuniti di Sabah hari ini, masing-masing dilaporkan di Tawau dan Kunak.

Kluster Jalan Imam Jalilul di Tawau, terbentuk selepas seorang guru lelaki berusia 41 tahun disahkan positif Covid-19 menerusi saringan bergejala pada 7 Mei lalu.

Satu lagi ialah Kluster Sungai Langgas di Kunak yang dikesan selepas anak perempuan seorang imam di Kampung Langgas, Kunak didapati positif juga melalui saringan bergejala pada 4 Mei lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks Kluster Jalan Imam Jalilul yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, Tawau dipercayai dijangkiti ketika berbuka puasa di rumah abangnya di Jalan Imam Jalilul, Tanjung Batu Darat, pada 2 Mei lalu.

Berikutan itu, katanya, seramai 32 kontak rapat kepada guru terbabit disaring dan 10 didapati positif, termasuk dua kes di kuarters Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, di mana kes indeks itu tinggal.

“Enam kes lagi dikesan di Kampung Tanjung Batu Darat dan dua kes di Taman Semarak, Tawau, menjadikan jumlah terkini bagi kluster ini sebanyak 11 kes.

“Selain berbuka puasa di rumah abangnya, kes indeks turut dipercayai dijangkiti ketika mengikuti solat sunat terawih sepanjang Ramadan lalu di Masjid Jideen berhampiran Tanjung Batu Darat,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kes indeks bagi Kluster Sungai Langgas di Kunak, dipercayai mendapat jangkitan daripada ayahnya yang juga imam di Masjid Al-Mansa, Kampung Langgas.

Katanya, saringan kontak rapat yang dilakukan bermula 5 Mei hingga 11 Mei lalu mengesan 18 lagi kes positif termasuk dua kes di Fever Center, Hospital Kunak, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 19 kes.

“Wanita berumur 21 tahun itu disahkan positif ujian RTK Antigen selepas menjalani saringan bergejala di Hospital Kunak. Saringan kontak rapat yang bermula 7 Mei lalu mengesan sebanyak lima kes positif termasuk bapa kepada kes indeks dan ahli keluarga yang lain.

“Saringan sampel kedua pada 10 hingga 11 Mei pula mengesan 11 lagi kes positif melalui ujian RTK Antigen iaitu dua kes hasil saringan kontak rapat dan sembilan kes daripada saringan bersasar,” katanya.

Hari ini Sabah merekodkan 60 kes baharu positif Covid-19 dengan satu kematian di Keningau, manakala 104 pesakit dilaporkan sembuh, menjadikan baki yang masih dirawat seramai 530 orang. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost