Pekerja Ladang Cetus Kluster Baharu Di Kinabatangan

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang pekerja ladang kelapa sawit yang dikesan positif COVID-19 menerusi saringan masuk kerja mencetuskan kluster baharu di Sabah yang dilaporkan di Kinabatangan dan Sandakan, hari ini.

Lelaki berumur 27 tahun itu dikenal pasti sebagai kes indeks Kluster Ladang LSP Kinabatangan yang setakat ini merekodkan sebanyak 20 kes di dua ladang kelapa sawit, masing-masing di Kinabatangan dan Sandakan.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata lelaki terbabit disahkan positif COVID-19 menerusi saringan RTK – Antigen di sebuah klinik swasta di Kinabatangan pada 21 April lalu.

Berikutan itu, katanya saringan kontak rapat dijalankan di tiga lokasi yang kemudian mengesan sebanyak 19 lagi kes positif, menjadikan 20 kes keseluruhan dikesan setakat ini.

“Masing-masing 13 kes dikesan hasil saringan di tempat tinggal kes indeks di Ladang Sungai Pin Borneo Samudera, Kinabatangan, dua kes di tempat kerja iaitu di Ladang Kinabatangan dan empat kes lagi hasil saringan kontak serumah melalui sampel kedua di Ladang Sepagaya, Sandakan.

“Hingga kini, aktiviti persampelan COVID-19 dan disinfeksi diteruskan untuk menilai jangkitan dam risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang yang lain,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata secara keseluruhan Sabah mencatat 153 kes baharu positif COVID-19 hari ini dengan satu kematian yang direkodkan di Tawau.

Kes yang tinggi hari ini berbanding 69 semalam, katanya berpunca daripada peningkatan kes menerusi saringan Kluster D’Kuala di Papar yang merekodkan 43 daripada 44 jumlah kes di daerah itu.

“Ia disusuli Kluster Umas di Kalabakan yang menyumbang sebanyak 33 kes daripada 39 kes yang dilaporkan di daerah itu hari ini. Saringan bagi kluster ini membabitkan Kompleks Perumahan FELDA Umas, Kinabatangan,” katanya.

Berikutan itu, katanya daerah Papar hari ini mendahului kes tertinggi di Sabah dengan 44 kes, diikuti Kalabakan sebanyak 39 kes, Kinabatangan (19 kes), Kota Kinabalu (17 kes), Semporna (10 kes) dan Tawau (sembilan).

Sebanyak sembilan daerah berada dalam zon merah di Sabah hari ini, diikuti dua daerah dalam zon jingga, 10 daerah dalam zon kuning dan enam daerah dalam zon hijau. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost