Jeffrey & Isteri Tawan Gunung Kinabalu

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (bertanjak) bersama isteri dan sebahagian peserta ekspedisi pendakian ketika berada di puncak Gunung Kinabalu. – Foto ihsan pembaca

RANAU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, membuktikan usia lanjut bukan halangan untuk beliau atau sesiapa saja menawan Gunung Kinabalu yang terkenal sebagai antara puncak tertinggi di Asia Tenggara dengan suhu rendah hampir ke paras beku.

Jeffrey, 73, bersama peserta ekspedisi pendakian seramai 50 orang, termasuk isterinya, Datin Cecilia Edwin berjaya sampai ke puncak setinggi 4,095 meter itu pada jam 6.30 pagi semalam dan meluangkan masa kira-kira setengah jam sebelum turun dan tiba di Pondok Timpohon, di kaki gunung pada kira-kira jam 7 malam.

Beliau memulakan pendakian dari Pondok Timpohon, Taman Kinabalu di Kundasang pada awal pagi kelmarin dan tiba di Panalaban yang menjadi tempat penginapan dan berehat pendaki pada jam 4 petang, sebelum meneruskan pendakian ke puncak seawal jam 2 pagi semalam.

Selain usia lanjut, Jeffrey turut membuktikan beliau masih mampu untuk mendaki walaupun pernah mengalami kecederaan tulang belakang akibat kemalangan jalan raya pada 2007 yang menyebabkan beliau terpaksa berkerusi roda selama empat bulan.

Katanya, hasrat untuk mendaki Gunung Kinabalu dirancang sejak Januari lalu sebagai sebahagian daripada program sempena sambutan Kaamatan pada tahun ini, selain mempromosikan gaya hidup sihat.

“Perancangannya ialah untuk sampai ke puncak di mana kita akan menukar ke pakaian tradisional untuk mempromosikan kepelbagaian pakaian kebudayaan masyarakat Kadazandusun dan Murut,” katanya dalam kenyataan mengenai pendakian berkenaan, di sini.

Bagi masyarakat Kadazandusun, Gunung Kinabalu atau turut dikenali sebagai Akinabalu bukan setakat puncak biasa, sebaliknya ia dianggap sebagai tempat persemadian roh nenek moyang masyarakat berkenaan.

Sebagai persediaan untuk pendakian, Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata beliau melakukan latihan berjalan kaki pada setiap pagi dan petang di sekeliling rumahnya di Inanam, dekat sini.

Presiden Parti Soludariti Tanah Airku (STAR) yang juga Ahli Parlimen Keningau itu mengakui berdepan pendakian yang sukar terutama selepas Pondok Layang-Layang di Kilometer (KM) 4 dan pendakian akhir ke puncak dari Panalaban di KM6.5 hingga KM8.5.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (bertanjak) bersama isteri dan sebahagian peserta ekspedisi pendakian ketika berada di puncak Gunung Kinabalu. – Foto ihsan pembaca

“Bayangkan mendaki di atas batu besar sepanjang enam kilometer dengan langkah yang besar dan ada banyak anak tangga. Kemudian, fasa terakhir dari Panalaban, perlu mendaki di batuan granit menggunakan tali sebelum melalui kawasan berbatu longgar hampir tiga kilometer hingga ke puncak,” katanya.

Misi menawan puncak juga katanya hampir gagal disebabkan hujan lebat pada awal pagi semalam, menyebabkan pendakian terpaksa dilewatkan selepas cuaca mengizinkan atau ekspedisi yang diketuainya itu terpaksa ditangguh atau dibatalkan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan bersama isteri ketika berada di puncak Gunung Kinabalu. – Foto ihsan pembaca

“Namun, saya kata Akinabalu tidak akan mengecewakan kita. Dia membuka jalan dan memberikan kita cuaca yang baik dan memang betul, kita dihidangkan dengan pemandangan yang menakjubkan di atas sana.

“Akhirnya, saya gembira dapat menyertai ekspedisi ini. Saya sentiasa percaya bahawa kita boleh mencapai apa yang kita mahu. Jika kamu benar-benar mahukan sesuatu, pergi dapatkannya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan lengkap berpakaian tradisional Kadazandusun di hadapan kolam kecil di puncak Gunung Kinabalu. – Foto ihsan pembaca

“Apa yang penting jangan sesekali katakan tidak. Lebih penting lagi abaikan segala kritikan dan keraguan terhadap kita,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *