Sabah Catat Satu Kluster Baharu Babitkan Guru & Pelajar

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata banyak aspek perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat oleh MKN.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, kluster baharu yang dicatatkan di Sabah, hari ini membabitkan pelajar dan guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Negeri, di Pantai Manis, Papar.

Beliau berkata, kluster baharu itu yang dinamakan kluster D Kuala mempunyai 16 kes kumulatif dan arahan penutupan sekolah sudah dikeluarkan berkuat kuasa 2 Mei.

“Kes indeks pelajar perempuan berusia 16 tahun yang disahkan positif pada 1 Mei dan hasil saringan bergejala di Hospital Papar pada hari sama, seorang rakan indeks kes juga dikesan positif.

“Susulan itu, pengesanan secara aktif (ACD) dan saringan terhadap kontak rapat dijalankan pada 2 Mei merangkumi rakan sebilik serta guru. Hasil saringan merekodkan 14 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masidi berkata, berdasarkan penelitian kes, indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada kontak rapat yang mempunyai gelaja lebih awal.

Katanya, kebarangkalian itu berdasarkan kes yang direkodkan pada 3 Mei 2021 apabila beberapa pelajar yang dikesan positif mempunyai gejala lebih awal daripada pengesanan kes indeks di sekolah terbabit.

“Setakat hari ini, kawalan penularan giat dilaksanakan dan arahan penutupan sekolah juga telah dikeluarkan,” katanya.

Terdahulu, Masidi berkata, Sabah mencatat 89 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kini sebanyak 58,461. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *