COVID-19: Kembali Melonjak, 3,120 Kes Baharu Hari Ini, 23 Kematian

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes baharu Covid-19 kembali melonjak, dengan 3,120 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Dengan itu, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 direkodkan dalam negara kini 420,632 kes.

Dalam catatan di Twitter, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor masih merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 675 kes, diikuti Sarawak (620) dan Kuala Lumpur (408).

Johor pula mencatatkan 336 kes, diikuti Kelantan (296), Pulau Pinang (167), Kedah (155), Perak (117), Negeri Sembilan (95), Sabah (89), Terengganu (53), Melaka (52), Pahang (41), Putrajaya (11), dan Labuan (5).

Perlis tidak merekodkan sebarang kes baharu.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu dicatatkan hari ini, sebanyak 3,114 melibatkan penularan tempatan, manakala enam lagi kes import.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 31,516 kes aktif dengan 338 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 181 memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, kes sembuh hari ini direkodkan sebanyak 2,334, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 387,542.

Sebanyak 23 kes kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, dan ini menjadikan jumlah keseluruhan angka korban Covid-19 1,574.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

924