Mayat Mangsa Covid-19 Bergelimpangan Di India

Mayat mangsa COVID-19 disusun di tapak pembakaran di New Delhi, India yang kini terpaksa membuka pusat pembakaran mayat sementara bagi menampung kadar kematian yang terus meningkat. – Foto EPA

NEW DELHI: Mayat mangsa COVID-19 bergelimpangan di luar pusat pembakaran mayat sementara menunggu giliran sementara kes jangkitan dan kematian baru terus meningkat dengan ketara di India.

Mayat terpaksa di simpan dalam kereta atau diletak tepi jalan berikutan semua pusat pembakaran mayat beroperasi melebihi kemampuan, ketika bantuan asing mula tiba di India menangani krisis.

Kotak berisi ventilator dan peralatan oksigen lain dari Britain adalah yang pertama tiba di lapangan terbang New Delhi semalam manakala Amerika Syarikat berjanji menghantar jutaan dos vaksin AstraZeneca.

Ledakan jangkitan baharu COVID-19 India semalam saja mencatatkan 350,000 kes, meningkatkan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 global kepada 147.7 juta termasuk lebih 3.1 juta kematian.

Di New Delhi, AFP memaparkan imej pembakaran puluhan mayat di tapak letak kereta yang digunakan sebagai pusat pembakaran mayat sementara.

Seorang koordinator pembakaran mayat, Jitender Singh Shanty, berkata ketibaan mayat tidak putus-putus.

“Setiap hari lebih ramai yang mati akibat coronavirus ini dan jika ini berterusan, kita terpaksa membakar mayat di atas jalan kerana tiada tempat lagi.

“Saya tidak pernah jangkakan kita akan berdepan dengan malapetaka sebegini besar,” katanya yang secara purata menguruskan pembakaran 100 mayat sehari.

Meskipun India dikenali sebagai ‘farmasi dunia’ kerana menjadi pengeluar ubat generik terbesar global, ia kini tidak mampu memenuhi permintaan bagi ubat anti viral seperti remdesivir.

Kebanyakan doktor berpendapat ubat itu tidak memberi kesan bagi rawatan COVID-19 tetapi masih disyorkan di sebahagian besar hospital. – AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *