Kelar Leher Rakan Sampai Mati, Buruh Ke Tali Gantung

Tertuduh, Robin Radjani Saih, 49, (tengah) dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh. – Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Seorang buruh warga Filipina dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, kerana membunuh rakannya dengan mengelar leher lelaki terbabit sehingga hampir putus, tiga tahun lalu.

Hakim Dr Lim Hock Leng membuat keputusan itu selepas tertuduh, Robin Radjani Saih, 49, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Dalam penghakimannya, Hock Leng berkata, mahkamah berpendapat pihak pendakwaan telah membuktikan elemen pembunuhan melangkaui keraguan munasabah dan oleh itu tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Sejurus mendengar hukuman itu, tertuduh kelihatan tenang sambil berdiam diri namun sesekali menundukkan wajahnya ke lantai.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam, Darmin Achok.

Tertuduh yang bekerja sebagai buruh mengangkat baja didapati bersalah membunuh Fazrin Ibrahim, 30, di kawasan simpang masuk Taman Warisan 4, Lahad Datu, antara jam 1.20 hingga 1.40 petang pada 24 April 2018 yang didakwa berpunca daripada masalah hutang.

Sembilan saksi pendakwaan dipanggil sepanjang kes itu dibicarakan.

Pada 24 April 2018, akhbar ini melaporkan seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan apabila leher hampir putus akibat ditetak kenalannya menggunakan parang ‘barong’. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7137