STAR Tetap Pertahan Keningau, Tambunan – Jeffrey

Presiden STAR Jeffrey Kitingan menganggap hasrat PBS bertanding di dua kawasan itu sebagai perkara biasa dalam politik.

KOTA KINABALU: Presiden STAR yang juga Ahli Parlimen Keningau, Jeffrey Kitingan menegaskan akan tetap mempertahankan kerusi parlimen Keningau dan DUN Tambunan yang disandangnya ketika ini walaupun Parti Bersatu Sabah (PBS) berhasrat “merampas” semula kawasan itu pada pilihan raya akan datang.

Katanya, tuntutan PBS itu perkara biasa dalam politik dan STAR perlu menganggapnya sebagai satu peringatan agar lebih berusaha untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

“Kita anggap itu (hasrat PBS untuk bertanding di Keningau dan Tambunan) sebagai satu perkara biasa dalam politik.

“Mungkin kita mengambil perkara ini sebagai peringatan mesra supaya berusaha lebih lagi… Pendirian STAR (adalah untuk) mempertahankannya,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu, kenyataan Presiden PBS Maximus Ongkili bahawa parti itu ingin mempertahankan kerusi tradisi di Parlimen Keningau dan DUN Tambunan turut mengundang rasa tidak senang hati dalam kalangan pemimpin STAR.

Setiausaha Agung STAR, Guan Dee Koh Hoi berkata, mereka faham keinginan PBS untuk mengimbas kembali sejarah, tetapi tidak adil untuk STAR menyerahkan kerusi yang menjadi kubu kuat mereka di kawasan pedalaman Sabah itu.

“Apa yang lebih mengecewakan adalah tindakan PBS ingin mengambil kerusi yang kini disandang Presiden STAR sendiri.

“Untuk itu, kami menganggap kenyataan Presiden PBS itu sebagai kenyataan selaku rakan dalam gabungan.

“Bukan mudah untuk memenangi kerusi tersebut (Keningau) kerana kami bekerja keras selaku pembangkang ketika itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, STAR bertanding di kerusi DUN Tambunan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas persetujuan di antara rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, STAR yang ketika itu bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) juga menang besar dengan majoriti lebih 6,000 undi.

“Terdapat usaha menggabungkan STAR dan PBS sebelum ini untuk menjadi STAR Bersatu, namun usaha itu tidak mendapat maklum balas baik dalam kalangan pemimpin PBS.

“Kemungkinan ketika itu masih ada persepsi bahawa STAR hanya parti kecil yang cuba bertahan. Bagaimanapun, STAR masih terbuka untuk membincangkan soal gabungan itu demi perpaduan dalam GRS,” katanya.

Guan Dee turut memberi jaminan bahawa STAR akan bekerjasama erat dengan PBS sebagai rakan gabungan bagi memastikan kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, STAR menerusi Jeffrey juga memenangi kerusi Parlimen Keningau dan DUN Tambunan dalam PRU14 dengan menggunakan simbol STAR. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1732