Sabah Setuju Tutup Sekolah Yang Ada Kes Covid-19

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersetuju untuk melaksanakan penutupan mana-mana sekolah sekurang-kurangnya selama dua hari selepas sekolah terbabit disahkan mempunyai kes Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan Pusat dalam usaha membendung penularan Covid-19 di sekolah.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk melanjutkan penutupan sekolah melebihi dua hari berdasarkan situasi semasa selepas penilaian risiko dibuat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri bersetuju supaya sekolah yang disahkan mempunyai kes Covid-19 ditutup minimum selama dua hari.

“Dalam tempoh itu, PKD akan melaksanakan penilaian risiko dan pengesanan kontak rapat serta memantau kerja sanitasi dan disinfeksi di sekolah yang terbabit,” katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, lima sekolah di ibu negeri dilaporkan mempunyai kes Covid-19 iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah (SM) Shan Tao; SJKC Chung Hwa Kota Kinabalu dan SJKC Chung Hwa Likas; serta Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Yuk.

Selain itu, Covid-19 turut dilapor menjangkiti pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang mencetuskan Kluster Tagasan di Semporna dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu yang mencetuskan Kluster Jalan Khidmat, di sini.

Terbaru, kes Covid-19 berkaitan sekolah dilapor membabitkan seorang guru di Kuala Penyu yang dikaitkan dengan Kluster Dambai di Inanam, dekat sini yang turut menjangkiti muridnya.

Semalam, Sabah merekodkan sebanyak 121 kes baharu Covid-19 dengan dua kematian, masing-masing di Kota Kinabalu dan Tawau, manakala seramai 93 pesakit dilapor sembuh.

Daerah Tawau katanya, masih merekodkan jangkitan tertinggi di Sabah dengan 57 kes, diikuti Kota Kinabalu (20 kes), Lahad Datu (18 kes) dan Kinabatangan (14 kes).

Dalam pada itu, Masidi berkata kerajaan negeri membenarkan operasi aktiviti pembekalan dan penjualan makanan di daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga jam 8 malam berbanding jam 6 petang, bermula hari ini kecuali di daerah yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Ketika ini, PKP dilaksanakan di daerah Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

Selain itu, Masidi berkata, kerajaan negeri juga bersetuju memberi kebenaran kepada peniaga makanan berdaftar di seluruh negeri untuk beroperasi di tepi jalan atau di depan premis dan rumah sepanjang Ramadan berkuat kuasa hari ini. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *