3 Taman Perumahan Di Lahad Datu Dikenakan PKPD Mulai Esok

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga taman perumahan di Lahad Datu, mulai tengah malam ini, berikutan berlaku penularan kes dalam kalangan penghuni di kawasan itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga taman perumahan terbabit iaitu Taman Aman 3, Taman Aman Jaya dan Taman Palm Height di Lahad Datu, Sabah dikenakan PKPD bermula esok hingga 5 Mei ini.

“Secara keseluruhan sebanyak 45 kes positif Covid-19 direkodkan di ketiga-tiga lokaliti terbabit iaitu 24 kes di Taman Aman 3, Taman Aman Jaya (10 kes) dan Taman Palm Height (11 kes).

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga melaporkan masih berlaku penularan kes dalam kalangan penghuni dan kebanyakan kes membabitkan jangkitan serumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD bagi memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dengan lebih pantas dan berkesan seterusnya menghalang penularan kes dalam kalangan komuniti.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan PKPD di Perumahan Komuniti Bersepadu Pulau Serai, Pekan di Pahang dilanjutkan sehingga 29 April ini.

Menurutnya, ia disebabkan masih berlaku penularan dalam kalangan penduduk dan terdapat sebanyak 47 sampel saringan sedang menunggu keputusan.

“KKM melaksanakan 545 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak tujuh kes positif direkodkan,” katanya.

Selain itu, katanya, Kampung Menuang Baru, Limbang di Sarawak yang dikenakan PKPD sebelum ini akan tamat seperti dijadualkan pada 24 April ini.

Tambah beliau, KKM melaksanakan 170 ujian saringan dan 13 daripadanya dikesan positif, malah KKM mengesahkan keputusan makmal ujian rt-PCR untuk saringan kali kedua didapati kesemuanya negatif dan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *