3 Rumah Musnah Terbakar Di Putatan

Api marak memusnahkan tiga rumah di Kampung Sri Pandan Putatan di sini.

PENAMPANG: Tiga keluarga diuji pada bulan  Ramadan apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Sri Pandan Putatan di sini sebentar tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zainal@ John Radsung berkata panggilan kecemasan diterima jam 1.58 petang dan seramai 13 pegawai serta anggota  lain-lain pangkat dari BBP Penampang digerakkan ke lokasi kejadian.

“Maklumat awal hanya membabitkan sebuah rumah bagaimanapun semasa ketibaan anggota bomba, api sudah memusnahkan tiga rumah jenis tidak kekal di kawasan ini.

“Difahamkan api berpunca dari rumah di bahagian sebelah depan sebelum merebak ke sebelah kiri lokasi kebakaran berkenaan,” katanya sambil menambah operasi pemadaman turut dibantu lapan anggota dari BBP Kota Kinabalu.

Menurutnya pasukan bomba yang tiba di lokasi kemudiannya segera melaksanakan pemadaman bagaimanapun operasi tidak dapat dilakukan dengan lancar berikutan tekanan air pada pili bomba adalah rendah.

“Jentera kita juga tidak dapat masuk ke lokasi kejadian berikutan laluan ke kawasan ini sangat sempit dan kita hanya bergantung kepada pili bomba di kawasan ini.

“Operasi bagaimanapun berjaya dikawal jam 2.45 petang dan dua rumah musnah keseluruhan manakala rumah terakhir terjejas sebanyak 50 peratus.

“Kejadian menjejaskan tiga keluarga yang terdiri daripada 22 penghuni keseluruhan,” katanya sambil menambah jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Tambahnya enam pasukan Forensik dari ibu pejabat serta zon turut berada di lokasi bagi melakukan siasatan berkenaan punca kejadian.

Sementara itu Menteri Pembangunan Masyaakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir Shahelmey Yahya berkata pihaknya akan membantu keperluan tiga keluarga mangsa kebakaran dalam kejadian ini.

“Kita difahamkan kesemua mangsa akan menumpang di rumah keluarga masing-masing dan pihak Jabatan Kebajikan Am akan memberi bantuan berbentuk keperluan asas kepada mangsa dalam tempoh terdekat manakala kita juga akan menilai bantuan lain dari semasa ke semasa mengikut keadaan,” katanya yang turut ditemui di lokasi kejadian.

Dalam pada itu salah seorang mangsa kebakaran Haji Sahidi berkata kejadian disedari anaknya yang berada di tingkat atas sebelum memaklumkan biliknya di bahagian tengah terbakar.

“Semasa kejadian kami sedang tidur di tingkat bawah dan segera melihat kebakaran bagaimanapun api sudah merebak dan kami terpaksa tinggalkan rumah dengan segera.

“Tiada harta benda yang sempat diselamatkan dan kami hanya keluar sehelai sepinggang menyelamatkan diri terlebih dahulu,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *