Polis Buat Rondaan Pada Aidilfitri, Akan ‘Singgah’ Rumah Banyak Kereta

Rondaan itu dilakukan bagi memastikan tiada mana-mana pihak ataupun individu yang dikesan merentas negeri tanpa kebenaran.

IPOH : Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap sedia untuk menjalankan pemeriksaan rumah ke rumah seperti tahun lepas sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti bagi memastikan tiada aktiviti rentas negeri tanpa kebenaran.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, strategi yang sama itu dijangka akan digunakan dan ditambah baik memandangkan larangan rentas negeri masih berkuat kuasa sehingga kini.

“Kita akan buat pemeriksaan sama ada mereka mempunyai surat kebenaran untuk balik (kampung) dan sebagainya. Pemeriksaan akan dilakukan mengikut beberapa aspek seperti jumlah kereta yang banyak di sesuatu rumah itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Buku 69 Komando: Lahad Datu Mac 2013 yang mengisahkan pengorbanan anggota semasa peristiwa itu di Kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini pada Rabu.

Tahun lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, polis memeriksa rumah ke rumah semasa perayaan Aidilfitri dan sekiranya terdapat banyak kenderaan di laman rumah, pihak polis akan melakukan semakan.

Abdul Rahim seterusnya menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang hanya membenarkan perjalanan rentas negeri pada hari Isnin hingga Khamis, tidak termasuk bagi kes kecemasan dan kematian berikutan ramai pihak salah faham mengenai pengumuman mengenainya Isnin lepas.

Menurutnya, mereka yang mempunyai kes kecemasan, kematian dan sebagainya masih dibenarkan pada hari Jumaat hingga Ahad dan sesiapa yang mempunyai urusan kerja pada hujung minggu juga perlu mengemukakan surat sokongan untuk memperoleh kebenaran rentas negeri.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pihaknya sedang menyediakan prasarana bagi tambahan briged di Sabah dan batalion di Sarawak, seperti penyediaan ibu pejabat dan penempatan anggota PGA; sebelum anggota tambahan digerakkan ke kawasan kem-kem berkenaan.

Datuk Seri Abd Rahim Jaafar

Beliau berkata, rancangan tambahan anggota Komando VAT69 daripada 692 orang setakat ini kepada hampir 1,000 orang telah melalui proses neutralisasi dan akan dibentangkan kepada pucuk pimpinan PDRM dan seterusnya kepada Kementerian Dalam Negeri.

Katanya proses neutralisasi itu turut melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) yang kini diletakkan di bawah tanggungjawab PDRM yang mana penugasannya masih sedang dalam perbincangan dengan pihak KDN termasuk SOP tugas pasukan itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *