Tiada Kelibat Ronaldo, Messi Di Piala Dunia?

Messi (kiri) dan Ronaldo mungkin digantung beraksi di Piala Dunia.

LONDON: Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo mengetuai barisan kesebelasan terbaik pemain yang akan beraksi dalam Liga Super Eropah (ESL).

Bagaimanapun, mereka berkemungkinan berdepan penggantungan tidak dapat beraksi pada saingan Piala Dunia.

Sebanyak 12 kelab gergasi di Eropah akan beraksi dalam saingan liga yang tidak menggunakan sistem penyingkiran itu.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dikenali sebagai ‘Big Six’ melengkapkan separuh daripada 12 pasukan beraksi di kejohanan bernilai 4.6 bilion pound (RM26.4 bilion) diperuntukkan oleh JP Morgan.

Enam lagi pasukan adalah Real Madrid, Atletico Madrid, Barcelona, Inter Milan, AC Milan dan Juventus.

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyelar perancangan kejohanan berkenaan, di mana pemain yang menyertai ESL mungkin berdepan penggantungan aksi antarabangsa.

Situasi itu menyaksikan kemungkinan ramai pemain terbaik dunia tidak akan beraksi pada saingan Piala Dunia dan Euro.

Selain Ronaldo dan Messi, beberapa lagi pemain ternama yang berdepan penggantungan berkenaan termasuk penjaga gol, Jan Oblak, pertahanan, Sergio Ramos dan Virgil van Dijk.

Manakala pemain tengah pula Bruno Fernandes, Mohamed Salah, Kevin De Bruyne dan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane. – Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1277