Pelajar MRSM Cetus Kluster Tagasan Di Semporna

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Sabah mencatat satu lagi kluster Covid-19 yang membabitkan pelajar sekolah selepas seorang pelajar Tingkatan Empat, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Semporna dikesan positif menerusi saringan bergejala pada 8 April lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks itu mencetuskan Kluster Tagasan yang dilaporkan di daerah Semporna semalam dengan kumulatif kes setakat ini seramai enam orang.

Beliau berkata, saringan kontak rapat yang dijalankan selepas kes indeks disahkan positif Covid-19 mengesan seramai empat lagi pelajar dan seorang pemandu di institusi terbabit positif virus berkenaan.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu mencetuskan Kluster Jalan Khidmat di ibu negeri menyebabkan sekolah berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 18 April hingga 1 Mei depan.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, Sabah mencatat 125 kes baharu Covid-19 dengan dua kematian di daerah Tawau, semalam.

Katanya, semalam juga seramai 125 pesakit Covid-19 di Sabah sembuh dan dibenarkan keluar hospital, menjadikan baki yang masih dirawat seramai 1,008 orang termasuk 55 orang dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 125 kes positif COVID-19, sebanyak 62 kes atau 49.6 peratus adalah berpunca daripada saringan kontak rapat, 12 kes atau 9.6 peratus menerusi saringan bergejala dan 45 kes atau 36 peratus dari kluster baharu dan sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, katanya daerah Tawau masih lagi mendahului dengan jumlah kes tertinggi semalam iaitu sebanyak 58 kes, diikuti Tuaran dengan 15 kes, Papar (10 kes), Putatan (sembilan) dan Kota Kinabalu (tujuh). – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *