Kluster Baharu Babit Pelajar MRSM Dikesan Di Sabah

Kluster itu dinamakan Kluster Tagasan, yang dikesan pada 8 April lalu.

KOTA KINABALU: Satu kluster baharu COVID-19 dikesan di negeri ini membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Semporna.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster itu dinamakan Kluster Tagasan, yang dikesan pada 8 April lalu.

“Kes indeks adalah pelajar Tingkatan Empat yang disahkan positif hasil saringan bergejala di sebuah klinik kesihatan pada 8 April lalu.

” Susulan kes itu, saringan kontak rapat mendapati empat lagi pelajar serta seorang pemandu di institusi tersebut dikesan positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak enam kes.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan sedang giat dijalankan,” katanya yang juga Jurucakap COVID-19 Sabah dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Sementara itu, beliau berkata status daerah Kinabatangan yang sebelum ini zon kuning kini berubah kepada zon jingga.

“Untuk rekod, terdapat enam zon daerah Sabah dikategorikan sebagai zon merah, empat zon jingga, 11 zon kuning manakala enam daerah dikategorikan sebagai zon hijau,” katanya.

Tambah beliau, jumlah kes baharu hari ini adalah sebanyak 125 kes yang menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 56,910 kes. Selain itu, katanya dua kematian direkodkan di Tawau. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3266