Bell Ngasri Jadi Ikon ‘Muka Orang Tak Puasa’

Lakonan mantap Bell Ngasri menjadikan watak lakonannya dalam 18 Puasa Di Kampung Pisang tular.

KUALA LUMPUR: Pelakon berkaliber, Bell Ngasri, 41, tidak pernah menyangka dirinya akan menjadi ikon ‘muka orang tak puasa’ ketika Ramadan menerusi watak Barkoba lakonannya dalam drama 16 Puasa, 17 Puasa dan terbaru, 18 Puasa Di Kampung Pisang arahan Mamat Khalid.

Bell berkata, Barkoba adalah pemegang ikon ‘plastik hitam’ kerana tak puasa dan masyarakat nampaknya sangat suka dengan gelagat Barkoba itu.

“Saya pelik juga bila lihat orang suka sangat dengan watak Barkoba ini hingga tular di media sosial. Apapun, saya amat berterima kasih dengan pengarah, Mamat Khalid kerana memberikan saya watak berkenaan.

“Disebabkan Barkoba yang saya lakonkan sejak 16 Puasa dulu, setiap kali Ramadan, wajah saya akan jadi ‘muka orang tak puasa’ yang disebarkan menerusi media sosial. Namun, ia hanyalah lakonan sahaja. Saya tidaklah berperangai seperti Barkoba kerana saya berpuasa penuh. Saya tak sangka watak itu boleh buat orang suka tengok dan diterima baik,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Bell, apa yang boleh disifatkan mengenai penerimaan orang ramai terhadap watak itu umpama bom jangka yang tiba-tiba meletop dan meledak.

“Gara-gara Barkoba juga, wajah saya turut diletak dalam kumpulan WhatsApp dan sebagainya hingga tersebar merata-rata. Lakonan saya mungkin disukai ramai kerana nasib berikutan watak yang dilakonkan itu dekat dengan masyarakat dan seterusnya mendapat perhatian.

“Saya bersyukur kerana dalam karier lakonan ini, selagi orang terima dan nak tengok, saya buat saja. Tak ada apa-apa rahsia kejayaan selain buat kerja itu dengan ikhlas,” katanya yang juga anak kepada penyampai radio popular Ngasri Sain.

Bell yang memulakan kerjaya seni sejak kanak-kanak dilahirkan dalam keluarga seni. Abangnya, Naszeli Ngasri dan dua adiknya, Darling Ngasri dan Anne Ngasri turut aktif sebagai pelakon.

Pada 15 April lalu, filem 18 Puasa Di Kampung Pisang arahan Mamat menjadi pilihan penonton di Astro First apabila berjaya mencatat kutipan RM1 juta dalam tempoh tiga hari. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *