Warisan Seru Pasar Malam, Mingguan, Tamu Dibenar Beroperasi

Azis Jamman

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman, meminta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) supaya mempertimbangkan semula keputusan menutup operasi pasar malam, pasar mingguan dan tamu di kawasan bandar raya Kota Kinabalu selama dua minggu bermula Sabtu lalu.

Katanya, pihak DBKK mungkin boleh membenarkan pusat perniagaan itu kembali beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat termasuk menggunakan sistem bernombor serta bilangan pengunjung yang terhad.

“Keputusan yang dibuat secara mengejut itu bukan saja mengecewakan peniaga malah secara nyata menjejaskan pendapatan golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

“Mereka ini cuba mencari sumber pendapatan baru menerusi jualan ketika bulan Ramadan. Ramai penduduk bukan sahaja dari Parlimen Sepanggar malah di kawasan sekitar Kota Kinabalu menghubungi saya dan meminta saya selaku wakil rakyat menyuarakan permasalahan yang mereka hadapi,” katanya dalam kenyataan.

Azis yang juga Ketua Pemuda Warisan berkata, DBKK seharusnya mengambil kira keadaan terpaksa dihadapi peniaga terbabit sebelum bertindak mengeluarkan notis pada malam sebelum tarikh penutupan.

“Notis pada saat-saat akhir tidak sepatutnya berlaku sedangkan kelulusan telah diberikan dan peniaga telah membayar deposit untuk tapak berniaga.

“Ada peniaga yang telah mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli stok bahan mentah serta peralatan lain bagi memulakan perniagaan di pasar malam sepanjang Ramadan ini.

“Ada juga yang meminjam wang untuk menjalankan perniagaan, bukan hanya melalui orang perseorangan dan institusi peminjam tetapi juga ‘along’ semata-mata untuk mencari sumber rezeki di bulan Ramadan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana bufet Ramadan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang disifatkan “meriah” dengan membenarkan pelanggan duduk makan, sedangkan jualan gerai di pasar malam yang jumlahnya terbatas dan secara “tapau” tidak dibenarkan.

“Perlu diingat bukan semua golongan mampu untuk makan dan membeli di tempat mewah seperti SICC.

“Orang kampung yang berjualan di pasar malam pula diminta untuk berhenti berniaga. Penutupan dua minggu itu cukup lama kerana sepanjang tempoh itu, peniaga kecil-kecilan pastinya sudah mampu memperoleh pendapatan secukupnya,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan peniaga pasar malam hilang punca pendapatan selepas DBKK menutup pusat perniagaan itu selama dua minggu.

Baru-baru ini, notis pemakluman dikeluarkan DBKK berhubung penutupan sementara operasi pasar malam, pasar mingguan dan tamu di kawasan bandar raya Kota Kinabalu, susulan kenaikan mendadak kes Covid-19. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *