PKPD Di Seluruh Tawau Hanya Khabar Angin

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau Arnold Joibi

TAWAU, 19 April : Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tawau menafikan dakwaan yang tular menerusi  media sosial kononnya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di seluruh daerah itu.

Pengerusi PKOB Tawau Arnold Joibi berkata setakat ini belum ada cadangan untuk menguatkuasakan PKPD sekalipun Tawau merekodkan kes harian COVID-19 yang tinggi setiap hari.

“Saya harap orang ramai mendapatkan maklumat tepat melalui kenyataan rasmi dalam sidang media mengenai COVID-19 di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, di sini hari ini. 

Beliau berkata pada masa ini  pihaknya menumpukan pencegahan pada peringkat lokaliti tertentu bagi memastikan trend kes COVID-19 di Tawau dapat dilandaikan semula.

Sejak 1 April hingga kini terdapat 20 lokaliti PKPD  di Tawau melibatkan lebih 28,000 penduduk.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G. Navindran berkata seramai 5,000 warga emas telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dalam fasa dua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Bagi yang mempunyai penyakit dan perlu mengambil ubat, mereka dinasihatkan agar membawa bersama ubat tersebut ketika datang mendapatkan suntikan vaksin bagi membolehkan doktor menilai tahap kesihatan individu berkenaan, katanya.

Menurutnya seramai 240 individu menerima dos pertama vaksin hari ini.

Sementara itu, Dr Navindran berkata sebanyak 46 kompaun RM1,000 hingga RM10,000  dikeluarkan pihaknya sepanjang penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Tawau pada awal bulan ini.

Pesalah kali pertama boleh memohon pengurangan denda dengan hadir di Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dalam tempoh 48 jam selepas dikompaun, namun bagi kesalahan berulang, pesalah tidak layak menerima pengurangan kompaun, katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *