Satu Maut, Pekerja Ladang Bakar Rakan Kritikal

Anggota polis berada di lokasi kejadian seorang lelaki maut, manakala seorang lagi kritikal selepas kedua-duanya terbakar di sebuah rumah kongsi di Ladang Ribu Bonus, semalam – Gambar ihsan polis

BELURAN: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi kritikal selepas kedua-duanya terbakar dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Ladang Ribu Bonus, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 29 tahun meninggal dunia 10 jam selepas kejadian akibat melecur teruk di anggota badan.

Seorang lagi mangsa yang juga suspek berusia 34 tahun dilaporkan masih kritikal.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata pihaknya menerima laporan daripada penolong pengurus ladang di situ mengenai kejadian kebakaran rumah kongsi terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga pekerja ladang dipercayai menyimbah petrol di ruang tamu rumah didiaminya bersama mangsa.

“Sejurus selepas itu, api marak dalam rumah kongsi berkenaan dan suspek bersama mangsa yang juga pekerja ladang warga Indonesia terbakar.

“Kejadian dilihat seorang saksi iaitu isteri kepada mangsa yang turut terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kasim berkata, pekerja ladang yang berada di lokasi kejadian membantu memadamkan api, sebelum suspek dan mangsa dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan dan dilaporkan cedera parah akibat melecur.

“Ketika rawatan, mangsa dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 11 malam pada hari kejadian, manakala suspek dilaporkan masih kritikal.

“Polis masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3919