BERSATU Kota Belud Serah 7,354 Keahlian Baharu

Hajiji menerima borang permohonan keahlian baharu di majlis itu.

KOTA BELUD: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menerima 7,354 borang keahlian baharu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Belud.

Beliau yang juga Ketua Pimpinan BERSATU Negeri Sabah menerima borang itu semasa majlis Ulang Tahun Bersatu Negeri Sabah bahagian Kota Belud daripada Ketua Bahagian Kota Belud Datuk Japlin Akim.

Majlis itu diadakan di perkarangan Bilik Gerakan Kampung Jawi Jawi, Kota Belud.

Dalam majlis itu, Hajiji turut ketika mengalu-alukan penyertaan ahli baharu BERSATU Kota Belud khususnya dari empat kawasan iaitu DUN Usukan, Tempasuk, Kadamaian dan Pintasan dalam Parlimen Kota Belud.

Beliau berkata, ianya merupakan satu perkembangan positif tentang penerimaan rakyat Sabah terhadap BERSATU bagi memastikan golongan itu lebih terbela dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sementara itu, Ketua Bahagian BERSATU Kota Belud Datuk Japlin Akim berkata, kemasukan BERSATU ke Sabah dilihat mampu menjadi nilai tambah dalam melonjakkan lagi kekuatan kepada pimpinan yang ada di negeri ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya BERSATU dalam GRS bersama-sama berjuang untuk meningkatkan pembangunan dan kemajuan negara.

“Mula-mula dahulu BERSATU Kota Belud hanya mempunyai 3,000 lebih ahli selepas pelancaran BERSATU Sabah pada 6 April 2019, kemudian apabila kita berada di dalam kerajaan GRS, keahlian BERSATU Kota Belud bertambah dan mencecah 11,269 ahli serta kini mempunyai 107 cawangan. Dahulu hanya 22 cawangan dengan pertambahan 85 cawangan baharu,” katanya.

Jelasnya, apa yang lebih penting adalah matlamat kerajaan GRS untuk menyatupadukan rakyat Sabah dan seterusnya membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini.

Hadir sama ADUN Tempasuk Mohd Arshad Bestari, Ketua Srikandi Kota Belud Hasrina Wati Datuk Golkhan, Ketua Armada BERSATU Bahagian Kota  Belud Fairuz Renddan yang juga Ketua Armada BERSATU Sabah, ahli jawatankuasa BERSATU Kota Belud serta pemimpin GRS Kota Belud.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1126