Hampir Dirempuh Penjenayah, Polis Tembak Hilux Di Papar

Pacuan empat roda dinaiki suspek ditemui di tepi jalan manakala dua suspek berjaya meloloskan diri.

KOTA KINABALU: Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan terhadap sebuah pacuan empat roda dinaiki dua penjenayah yang cuba merempuh mereka di Kampung Dambai, Papar, pagi tadi.

Dalam kejadian 6.30 pagi, anggota polis terbabit melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri, namun suspek yang disyaki terlibat kes curi kenderaan berjaya meloloskan diri.

Difahamkan sebelum kejadian, polis menerima maklumat berhubung kes curi kenderaan di Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu, kira-kira 5 pagi.

Anggota bertugas kemudian menjalankan rondaan selepas menerima maklumat kenderaan itu menuju ke Papar.

Ketika tiba di sekitar Kampung Dambai, dua anggota polis mengesan kenderaan yang disyaki dicuri sedang berhenti.

Anggota polis terbabit kemudian meminta pemandu dan penumpang turun dari kenderaan namun suspek bertindak agresif dan cuba merempuh seorang daripada mereka.

Anggota polis terpaksa mempertahankan diri dengan melepaskan tembakan ke arah pacuan empat roda yang cuba merempuh mereka.

Dalam keadaan cemas dan cuba melindungi diri, anggota polis terbabit melepaskan dua das tembakan ke bahagian belakang kenderaan jenis Toyota Hilux itu.

Bagaimanapun, kenderaan itu dipecut ke arah Jalan Uku Bogok. Anggota polis terbabit mengekori dan menemui kenderaan itu yang ditinggalkan di tepi jalan.

Hasil pemeriksaan, dua suspek terbabit tiada di situ.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan dua suspek terbabit. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

22252