PKPD Di 8 Lokaliti Di Tawau Bermula Esok

KUALA LUMPUR: Lapan lokaliti di daerah Tawau, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 25 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lapan lokaliti berkenaan ialah Taman Sri Bukit Tawau, Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Bandar Sri Indah, Jalan Mesra, Kampung Titingan dan Taman Golden Hill.

“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 76 kes positif Covid-19 dan 220 orang kontak rapat dikesan dalam 8 lokaliti itu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesahkan berlakunya penularan jangkitan Covid-19 di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lapan lokaliti di daerah Tawau, Sabah bermula dari 12 April hingga 25 April 2021,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti itu dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar.

Beliau berkata, PKPD turut dilaksanakan di Sungai Passin, daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak bermula esok hingga 25 April kerana berlakunya peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 32 kes positif Covid-19 direkodkan hasil saringan ke atas 64 penduduk di lokaliti itu,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKPD di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak yang sepatutnya tamat esok.

Beliau berkata, KKM sudah melaksanakan 3,572 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 891 kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan serta ramai tahanan yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) belum sembuh sepenuhnya.

“Hasil penialaian risiko bersama dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak bermula 13 April sehingga 26 April 2021,” katanya.

Sementara itu, katanya, KKM mengesahkan terdapat keperluan kawasan PKPD Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak Mukim Hulu Besut, Daerah Besut, Terengganu diperluaskan ke dua lokaliti bersebelahan iaitu Kampung Pak Sik dan Felcra Keruak bermula esok hingga 20 April 2021.

“Hal ini berikutan dikesan terdapat pergerakan kes positif Covid-19 di kedua-dua kampung itu bagi aktiviti keramaian dan perkumpulan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *