Dua Tonggak Sabah FC Diketepikan Kerana Isu Gaji?

KOTA KINABALU : Dua tonggak Sabah Football Club (FC) dikatakan tidak berada dalam senarai pasukan itu bagi menghadapi Penang FC dalam saingan Liga Super di Pulau Pinang, Ahad ini.

Pemain terbabit ialah pertahanan yang juga ketua pasukan, Rawilson Batuil dan pemain tengah Mohd Azzizan Nordin.

Dua pemain ini dipercayai tidak bersama-sama pasukan yang berlepas ke Pulau Pinang, pagi tadi, dipercayai berikutan isu gaji yang menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Sumber dalaman Sabah FC berkata, Rawilson dan Azzizan antara pemain yang bersuara mengenai gaji yang sebelum ini tertunggak dua bulan.

“Memang betul mereka (Rawilson dan Azzizan) ditinggalkan, ia ada kaitan dengan isu gaji tertunggak sebelum ini.

“Mereka juga antara yang bersuara mengenainya (isu gaji) sehingga sesi latihan pasukan dibatalkan semalam,” katanya.

Rawilson

Sumber itu turut berkata, gaji pemain yang tertunggak itu dibayar namun baru untuk sebulan.

“Baru sebulan (gaji yang tertunggak) dibayar, sebulan lagi belum masuk,” katanya.

Ketiadaan dua pemain itu bersama pemain berpengalaman Maffry Balang dalam senarai Sabah FC ke Pulau Pinang menjadi tular di media sosial hari ini.

Beberapa Facebook kelab penyokong pasukan itu mendakwa tiga pemain terbabit diketepikan pihak pengurusan kerana ‘bersuara’ mengenai gaji.

Bagaimanapun difahamkan, Maffry tidak dibawa bersama ke Pulau Pinang kerana kecederaan dan tiada kaitan dengan isu gaji yang hangat diperkatakan ketika ini.

Terdahulu semalam, sesi latihan Sabah FC terbatal dipercayai ada kaitan dengan isu gaji pemain yang dikatakan tertunggak dua bulan.

Sumber dalam pasukan berkata, latihan sepatutnya bermula jam 4 petang namun selepas perbincangan hangat di kalangan pemain dan barisan kejurulatihan, sesi berkenaan kemudian dibatalkan.

Bagaimanapun hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Football Club (FC), Khairul Firdaus Akbar dalam satu kenyataan menafikan perkara itu.

Beliau juga menafikan gaji pemain dan pegawai pasukan tertunggak sehingga tiga bulan seperti yang tular di media sosial, semalam.

“Memang diakui berlakunya beberapa kelewatan pembayaran gaji, namun ianya tidak pernah tertunggak lebih dari satu bulan.

“Dakwaan gaji pemain tertunggak sehingga tiga bulan adalah tidak benar sama sekali sehingga tular di laman media sosial malam tadi,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *