COVID-19: Perkhidmatan Penumpang Lapangan Terbang Tawau Dicadangkan Ditutup

Lapangan Terbang Tawau

TAWAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau mencadangkan Lapangan Terbang Tawau di isni, ditutup sementara untuk perkhidmatan penumpang bagi membendung penularan kes Covid-19.

Pengerusinya Arnold Joibi yang juga Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, baru-baru ini.

“Penularan Covid-19 di Tawau, membimbangkan dan sebab itu perlu ditangani dengan mengambil beberapa langkah keselamatan kesihatan,” katanya kepada Bernama.

Tawau mencatat kes positif Covid-19 harian tertinggi di Sabah semalam, iaitu 63 kes daripada keseluruhan 106 kes seluruh negeri.

Sementara itu, beliau berkata, tindakan tegas termasuk kompaun maksimum akan dikenakan kepada penduduk yang melarikan diri dari lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Penduduk di Simpang 3A Merotai Besar, Kampung Baru Pasir Putih, Fasa 2A Taman Semarak dan Kampung Ranggu Batu 10 yang melarikan diri dari PKPD ini perlu balik segera dan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Didapati masih ramai penduduk dalam lokaliti PKPD tidak menjalani saringan, misalnya di Fasa 2A Taman Semarak, penduduknya seramai 840 orang namun yang melakukan ujian Covid-19 hanya 160 orang,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan MKN serta bersama-sama melandaikan kes Covid-19 di Tawau, selain memastikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 16 April ini tidak lagi dilanjutkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, polis menambah dua lagi sekatan jalan raya di sini, iaitu di Jalan Utara serta Jalan Kuhara bagi mengawal pergerakan masuk penduduk ke kawasan bandar.

“Selain, polis juga menutup dua jalan iaitu Jalan Salleh dan Jalan Tanjung Batu, ketika ini tahap pematuhan SOP di Tawau adalah terendah di Sabah,” katanya.

Tiga sekatan jalan raya sedia ada di Tawau iaitu Jambatan Putih, Batu 2 Jalan Apas dan Jalan Tiku. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *