PKPD Di 5 Kawasan Di Sabah Bermula Esok

PUTRAJAYA: Empat kawasan di dua daerah di Sabah melibatkan sebuah perkampungan dan perumahan bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok hingga 23 April ini berikutan peningkatan kes mendadak dan kebolehjangkitan tinggi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara lokaliti itu ialah Kampung Gayang di Daerah Tuaran, Bahagian Pantai Barat yang merekodkan lima kes daripada 38 ujian saringan.

Katanya, turut dikenakan PKPD untuk tempoh sama ialah tiga lokaliti dalam Daerah Sandakan yang melibatkan Institut Latihan Perindustrian (ILP), Taman Permata dan Taman Seri Labuk.

“Kementerian Kesihatan melakukan 88 ujian saringan di ILP dan daripada jumlah tersebut, secara kumulatif, sebanyak tujuh kes positif Covid-19 sudah pun direkodkan, manakala lima kes daripada sembilan ujian saringan di Taman Permata dan lima kes daripada enam ujian di Taman Seri Labuk juga dikenal pasti pihak kementerian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, PKPD melibatkan dua lokap tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Daerah Johor Bahru, Johor berakhir esok seperti yang dijadualkan membabitkan lokap Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Taman Setia Tropika dan Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar.

Katanya, Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada lagi kes baharu Covid-19 dan yang terakhir telah dikesan di lokap PATI di Taman Setia Tropika pada 29 Mac lepas iaitu 59 kes, manakala kes terakhir dicatatkan kementerian itu di lokap PATI Bangunan Sultan Iskandar pula pada 28 Mac lalu melibatkan 51 kes dengan semua sudah pun menerima rawatan. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *