Pelajar Tahfiz Ditemui Lemas Di Sungai Kiulu

Sungai Kiulu yang menjadi lokasi kejadian seorang pelajar tahfiz Madrasah Tahfiz Darul Ulum Azzkia ditemui lepas pagi semalam.

TUARAN: Seorang pelajar tahfiz berusia 14 tahun lemas ketika mandi di Sungai Kiulu berhampiran sebuah rumah penginapan di Kampung Ranap, Kiulu di sini, semalam.

Mangsa yang juga pelajar Tahun Satu Madrasah Tahfiz Darul Ulum Azzkia, Papar itu ditemukan kira-kira 300 meter di tepi sungai, pada jam 7.05 pagi, selepas 35 minit dia dilaporkan lemas.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim mengesahkan kejadian berkata, siasatan awal mendapati mangsa termasuk sekumpulan rakannya yang menjalani program perkelahan anjuran sekolah agama terbabit diarahkan bertolak pulang pada 8 pagi.

Katanya, sebelum kejadian, pada 6.30 pagi, sekumpulan pelajar terbabit kemudiannya mandi di sungai sebelum bersiap untuk bertolak kembali ke sekolah agama.

“Bagaimanapun, mangsa lemas dan cuba diselamatkan rakannya yang menyedari kejadian, namun gagal disebabkan arus sungai deras.”

“Sebaik laporan polis dibuat, rakan-rakan mangsa yang melakukan pencarian kemudiannya menemui mangsa lalu membawa mangsa ke Klinik Kesihatan di pekan Kiulu, namun disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan dijalankan oleh pihak paramedik,” katanya.

Menurutnya, mangsa adalah anak sulung daripada tiga beradik.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuaran untuk bedah siasat.

“Setakat ini, punca kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperolehi pihak polis,” jelasnya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *