Vaksin COVID-19 Menunjukkan Keberkesanannya

Gambar Hiasann

LABUAN: Saya menerima suntikan kedua vaksin COVID-19 pada 20 Mac, iaitu 21 hari selepas suntikan pertama pada 27 Februari dan saya tahu bahawa vaksin Pfizer-BioNTech telah pun menunjukkan tindak balas di dalam badan saya.

Dalam tempoh 12 jam selepas mengambil suntikan kedua, kira-kira 3 pagi keesokan harinya, saya bangun dengan rasa keletihan yang teruk, sakit kepala, sakit otot serta menggigil dan demam, dengan suhu 38.05 darjah.

Lengan yang disuntik vaksin terasa sakit dan agak sukar untuk saya menggerakkannya. Saya rasa seperti tidak mahu bangun dari katil. Sejujurnya, saya terbaring di katil selama 33 jam.

Wartawan di Labuan juga dikategorikan sebagai barisan hadapan dan termasuk dalam kumpulan pertama penerima vaksin COVID-19 bersama dengan petugas kesihatan. Saya, sebagai koresponden Bernama di Labuan dan jurugambar Bernama Labuan Muqtadir Halim, adalah antara 10 wakil media yang tersenarai sebagai penerima vaksin.

Berbalik kepada keadaan saya, isteri saya memberikan sebiji pil paracetamol dan segelas air, saya menelan pil itu. Sejam kemudian, demam mulai reda. Di bahagian belakang kad vaksinasi COVID-19 tertera peringatan untuk mengambil tablet paracetamol, jika anda mengalami kesakitan selepas divaksin.

Menjelang petang, keletihan, sakit otot dan demam beransur hilang, hanya tinggal sedikit sakit kepala dan kesakitan di tempat suntikan. Saya masih ingat bahawa saya hanya mengalami sakit lengan selepas suntikan pertama saya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari, berkata demam, sakit kepala dan keletihan, adalah tanda bahawa tubuh mula membentuk pertahanan antibodi terhadap virus COVID-19.

“Ini tanda bahawa vaksin mula bertindak balas. Sekiranya anda diserang demam, keletihan atau sakit kepala, terutamanya selepas suntikan kedua, itu adalah normal.

“Dan, jika anda tidak mengalami sebarang kesan sampingan, itu juga baik. Badan anda masih menjalankan tugasnya. Apa yang bagus adalah tidak semua orang mendapat kesan sampingan,” katanya.

Dr Ismuni, yang turut mengalami demam dan menggigil selepas suntikan kedua berkata, adalah penting untuk memaklumkan kepada orang ramai apa yang boleh dijangkakan dan kesan sampingan adalah suatu tanda normal daripada proses (vaksinasi) ini.

Ingin saya jelaskan bahawa kesan sampingan itu datang tanpa disangka, tetapi saya bersyukur kerana vaksin itu menunjukkan keberkesanannya. Begitulah saya melihat kesan vaksin itu ketika ini.

Berdasarkan pemahaman saya, suntikan pertama vaksin itu membantu sel-sel imun untuk mengenali DNA virus dan ia sudah bersedia untuk berjuang menentang virus melalui dos kedua, yang mempunyai elemen kod COVID-19. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2086