(VIDEO) PU Riz , Neelofa Kini Suami Isteri

Neelofa dan PU Riz selamat diijabkabulkan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

KUALA LUMPUR: Impian selebriti popular, Neelofa, 32, membina mahligai bersama lelaki dicintai dimakbulkan apabila sah menjadi isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz, 26, dengan sekali lafaz di Hotel Grand Hyatt, di sini, jam 11.43 pagi, sebentar tadi.

Akad nikah Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor disempurnakan oleh adik kandungnya, Mohd Aqief Mohd Noor.

Biarpun mengikut rutin norma baharu, majlis perkahwinan Neelofa dan PU Riz ala kayangan bertema putih itu dihadiri 200 tetamu ahli keluarga dan rakan terdekat kedua-dua pihak.

Tetamu hadir pula menepati tema berpakaian baju kurung, Melayu atau jubah berwarna putih yang menjadi permintaan pihak pengantin.

Bagaimanapun, Neelofa tidak menyatakan jumlah hantaran, sebaliknya hanya memberitahu menerima sebentuk cincin daripada pihak lelaki.

Neelofa dan PU Riz menzahirkan rasa syukur apabila majlis berjalan dengan lancar seperti dirancang.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan kami.

“Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah SWT, insya-Allah,” ujar pasangan berkenaan.

Mengulas detik perkenalannya, Neelofa berkata, dia mengenali PU Riz pada Jun, 2017.

“Bagaimanapun, saya bekerjasama buat kali pertama dengan suami untuk sebuah projek pada 2018.

“Selepas kolaborasi ini, kami tidak berhubung sehinggalah setahun kemudian.

“Dari titik pertemuan semula ini, kami mula mengenali hati budi masing-masing,” katanya.

Bekas pengacara MeleTOP itu berkata, suami seorang yang sangat baik, lemah lembut dan matang.

“Apabila berbual dengannya, saya boleh bincangkan banyak hal dan ia membuatkan saya berasa selesa.

“Dia juga pendengar yang baik dan sentiasa cuba membantu memberi solusi jika saya menghadapi sebarang kesukaran dan masalah,” kata Neelofa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *