930 Babi Mati Akibat Demam Babi Afrika Di Sabah Dilupuskan

Gambar Hiasan

PENAMPANG: Sebanyak 930 ekor babi dilupuskan dan mati akibat jangkitan Demam Babi Afrika (ASF) di daerah yang diisytiharkan kawasan wabak ASF di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, sehingga Selasa, sebanyak 404 ekor babi peliharaan mati dan 387 ekor dilupuskan bagi mengawal penularan wabak ini. Manakala, 139 ekor babi hutan mati akibat virus ASF.

Sehingga kini, enam daerah diisytiharkan kawasan wabak iaitu Pitas, Beluran, Kota Marudu, Lahad Datu, Kinabatangan dan Sandakan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa virus ASF ini berada dalam keadaan terkawal dan beberapa aktiviti dijalankan bagi memastikan wabak ini tidak merebak ke daerah lain.

“Jangan susah kerana ASF ini hanya menjangkiti haiwan dan tidak akan menjejaskan manusia.

“Bagaimanapun saya meminta orang ramai agar jangan makan babi hutan buat masa ini, walaupun ia tidak membahayakan manusia tapi, ia berbahaya kepada haiwan,” katanya selepas melawat Sungai Tagal Kampung Rugading, hari ini.

Mengenai aktiviti tagal di kawasan itu, Jeffrey meluluskan sejumlah RM25,000 bagi membina pondok (sulap) bagi memudahkan aktiviti tagal dijalankan di kawasan tersebut.

Katanya, sebanyak 1,000 ekor ikan turut dilepaskan tadi untuk menjayakan aktiviti tagal di sungai tersebut.

Mengulas tentang pendaftaran program vaksinasi di Keningau, Ahli Parlimen Keningau ini berkata, proses pendaftaran di kawasannya berjalan lancar dan usaha turut dilakukan bagi menyebar luas maklumat mengenai kepentingan vaksinasi melalui media dan televisyen.

Katanya, dengan adanya cadangan tarikh akhir pendaftaran vaksinasi, beliau menggalakkan rakyat di negeri ini untuk segera berdaftar sebagai penerima vaksin.

Daerah Pitas merupakan daerah pertama di Sabah diisytiharkan kawasan wabak iaitu pada 23 Feb, setelah beberapa ekor babi ditemukan mati di daerah berkenaan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *