Segerakan Pelaksanaan Undi 18 Tahun – Salleh

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU: Kelayakan mengundi pada usia 18 tahun perlu segera dilaksanakan untuk memberi nafas baharu kepada arena politik dan menyuburkan lagi sistem demokrasi negara.

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata persoalan mengenai kematangan politik tidak timbul kerana golongan muda kini banyak terdedah dengan perkembangan semasa, sekali gus bersedia terbabit dalam menentukan hala tuju negara.

“Dalam zaman digital kini, maklumat boleh diakses melalui pelbagai medium dengan pantas.

“Perolehan maklumat ini akan membantu mereka untuk membuat keputusan berhubung kepada siapa sokongan atau undi patut diberikan.

“Dari sudut psikologi pula, usia 18 tahun adalah fasa terakhir sebelum transisi ke alam dewasa. Pada usia sebegini, mereka cenderung membuat keputusan kritikal, di samping berfikiran lebih jauh, terutama dalam isu serius seperti agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu berkata, langkah itu juga membolehkan orang muda melihat hak mereka mengundi diiktiraf dari awal, sekali gus mampu menarik minat golongan berkenaan untuk terbabit dalam politik.

Melalui politik, beliau berkata, golongan muda berpeluang belajar melaksanakan tanggungjawab dengan amanah, selain menyerlahkan lagi ciri kepemimpinan mereka.

Katanya, beliau turut melihat kelayakan mengundi pada usia 18 tahun akan mengubah norma kehidupan remaja kini, termasuk mengambil berat soal politik, peka kepada isu semasa dan memiliki jati diri yang kukuh.

Beliau turut memberi contoh negara lain seperti Indonesia yang menetapkan usia 17 tahun untuk layak mengundi, manakala Argentina, Austria dan Brazil pula 16 tahun.

Malah, Salleh berkata, pelaksanaan itu bakal menyaksikan pertambahan sebanyak 20 peratus atau kira-kira 3.7 juta pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Angka ini jelas menunjukkan peranan besar golongan muda dalam sistem demokrasi berikutan mereka dilihat boleh menjadi antara ‘king maker’ dalam menentukan mandat mentadbir negara,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *